“Berhenti berpolitik Anwar , bantu kerajaan tangani COVID-19” – Faizal Azumu .

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran ‘berhenti’ bermain politik dan menangguhkan rancangan untuk menukar kerajaan, sebaliknya, berganding bahu bersama-sama kerajaan membantu mencegah COVID-19.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pada ketika ini, Anwar seharusnya membantu dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjaga kebajikan rakyat ekoran penularan pandemik itu.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, tindakan Presiden PKR itu mencetus isu perubahan tampuk kerajaan hanya akan mengundang ketidakstabilan kepada negara.

Beliau menegaskan, pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini lebih meruncing berbanding isu ahli politik yang kerap kali menimbulkan keresahan pada rakyat.

Dalam masa sama, Ahmad Faizal berkata, sebilangan besar rakyat sudah ‘penat’ dan muak dengan isu politik yang tidak berkesudahan.
“Kita harap tidak (perubahan kerajaan) dan saya fikir rakyat sudah tidak lalu nak tunggu depan TV siapa angkat sumpah dan sebagainya.

“Saya kira semua orang termasuk Datuk Seri Anwar marilah kita sama-sama cari jalan kerja bagi sokongan kuat kepada Tan Sri Muhyiddin untuk beliau terus dapat bantu rakyat bukan kerja untuk cari jalan kerja pecah belahkan sesama kita.

“Ini waktu untuk kita bersatu, untuk semua rakyat musuh kita yang lebih kuat sekarang di hadapan kita adalah virus yang boleh membunuh (COVID-19). Ini yang perlu kita selesaikan, selepas itu kalau nak politik balik politiklah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (mou) di antara Digital Perak dan Multimedia Universiti (MMU) Cyberjaya di sini pada Jumaat

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan.

Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson itu yang sudah mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada 13 Oktober ini.

Menteri Besar Perak itu juga berkata, kerajaan yang diterajui Muhyiddin setakat ini juga mendapat majoriti dan melaksanakan kerja seperti biasa.

Dalam kenyataan pada Khamis, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa
menyokongnya seperti dinyatakan pada 23 September lalu.

Dengan itu, kata Anwar, langkah yang sebelum ini tertangguh kini dapat dilaksanakan selepas mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sumber – Astro Awani.

Leave a Comment