PH, BN capai kata sepakat bentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia – sumber

Kuala Lumpur: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dipercayai sudah mencapai kata sepakat berhubung formula bagi pentadbiran negara yang menjanjikan untuk mengembalikan kestabilan dan perpaduan dalam negara.

Dilihat sebagai formula saling menguntungkan menerusi pembentukan kerajaan perpaduan yang menjadi pertimbangan kedua-dua pihak, mereka turut membuka pintu bagi parti lain khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk bersama.




Menurut sumber, pendekatan ke arah konsep ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ baharu itu ialah mewujudkan kerajaan perpaduan disertai semua parti dan kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Berdasarkan dokumen cadangan perjanjian 10 perkara oleh PH dan BN yang dilihat The New Straits Times (NST), ia antara lain menyatakan:




    • Kedua-dua pihak bersetuju kerajaan PH-BN akan dinamakan sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia
    • Komposisi kerajaan mempunyai wakil setiap parti yang akan memegang jawatan kanan selepas rundingan dimuktamadkan.
    • Penggal Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum tamat tempoh lima tahun



    • Kerajaan akan mengambil langkah perlu bagi memastikan dasar, program, pendirian dan hala tuju kerajaan, termasuk wakil parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, menjunjung peruntukan Perlembagaan berhubung kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera dan Raja-Raja Melayu supaya tidak mengguris atau melanggar soal kepentingan Islam, Melayu/Bumiputera dan monarki.
    • Jawatan Perdana Menteri dipegang Ahli Parlimen PH, manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh pemimpin BN



    • Portfolio utama iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan akan dirunding oleh Perdana Menteri dan Timbalannya supaya agihan berlaku secara adil dan saksama berdasarkan kesesuaian serta kepakaran masing-masing.
    • PH dan BN akan bekerjasama membentuk kerajaan negeri Pahang dan Perak, dengan jawatan Menteri Besar dipegang oleh BN.



  • Pengagihan jawatan dalam Kabinet dibuat berdasarkan peratusan Ahli Parlimen parti yang membentuk kerajaan.
  • Pelantikan Ahli Parlimen BN dalam Kabinet mesti mendapat kelulusan Dewan Tertinggi gabungan itu.
  • Pelantikan Ahli Dewan Negara, jawatan utama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jawatan penting lain dalam kerajaan mesti dimaklum serta dibincang bersama oleh Perdana Menteri dan Timbalannya.

Difahamkan, gabungan baharu yang sedang dibentuk itu optimis bahawa parti dalam blok Borneo akan menyertai kerajaan bagi mengukuhkan kehadirannya di Putrajaya, selain membantu pembinaan semula negara.

Sementara itu, sumber lain memberitahu, BN sudah menyatakan pendirian untuk bersama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.



Mesej berkenaan disampaikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepada Seri Paduka ketika sesi menghadap di Istana Negara, pagi semalam.

Pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong juga menerima menghadap pemimpin blok Borneo diketuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mendengar sendiri sama ada mereka menyokong PH atau PN.

HarianMetro

Leave a Comment