Bonus sebulan gaji atau gaji dinaikkan mungkin berita gembira untuk penjawat awam

Kongsi Artikel Ini

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi bayangan akan mengumumkan berita gembira untuk penjawat awam pada 30 Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajuinya sentiasa menghargai pengorbanan penjawat awam, termasuk pasukan keselamatan, di bawah kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.



Beliau berkata, di saat negara sedang mengalami kesusahan seperti banjir besar yang tidak dijangka, pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi.

Baca Juga

“InsyaAllah, kita akan mengumumkan sesuatu yang menceriakan bagi mengubat duka lara para penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti.

“Tunggulah saya pun tengah fikir mengenainya,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.




Ketika negara berdepan pandemik Covid-19, Ismail Sabri berkata, ada banyak cerita kesedihan petugas kesihatan yang berkorban jiwa raga dan nyawa dalam menangani virus itu.

Beliau berkata, jasa dan pengorbanan mereka sebagai wira tidak didendang akan terus terpahat dalam lipatan sejarah.

Menurutnya hasil kerja keras semua pihak dan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khususnya, membolehkan Malaysia menjadi antara negara yang mencatat kadar vaksinasi terpantas, seterusnya memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lepas.




“Sesebuah kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat dukungan daripada semua pihak. Alhamdulillah, kerajaan Keluarga Malaysia tidak pernah bersengketa atau memandang ringan pengorbanan penjawat awam.

“Begitu juga dengan para aktivis masyarakat yang cekal berkhidmat kepada negara, khususnya melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa mengingati sumbangan mereka,” katanya.



Perdana Menteri dalam ucapannya turut mewakili kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas kesihatan yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa Covid-19.

Sumber: Harian Metro

Leave a Comment