Disamun, dirogol lelaki menyamar pegawai Imigresen

Ampang: Nasib malang menimpa seorang wanita apabila bukan saja disamun, malah turut diperkosa ‘pegawai imigresen’ yang membawanya ke hotel sebelum meninggalkannya di tepi jalan, kelmarin.

Dalam kejadian 6.50 pagi itu, mangsa warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang cuci bersama seorang lagi rakan senegaranya berusia 30-an dalam perjalanan ke tempat kerja di Pandan Indah.




Kedua-dua mereka disamun membabitkan kerugian keseluruhan lebih RM4,000.

Baca Juga

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa didatangi dua lelaki menaiki kereta dan mengaku sebagai pegawai Imigresen.

“Suspek memberitahu mahu membuat pemeriksaan pasport dan permit kerja lalu meminta mangsa serta rakannya menaiki kereta.

“Ketika dalam perjalanan, suspek mengambil barang kemas dan wang tunai milik mangsa. Mangsa dibawa ke kawasan Serdang dan ditinggalkan di tepi jalan manakala rakannya dibawa ke sebuah hotel di Balakong sebelum dirogol.



“Mangsa tampil membuat laporan polis dan rakannya yang dirogol turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, polis berjaya mengesan dan menahan dua suspek di rumah di Jasin, Melaka, awal pagi hari ini.

Katanya, serbuan 3 pagi itu turut merampas wang tunai, barang kemas, kenderaan dan pakaian digunakan suspek ketika kejadian.

“Semakan mendapati suspek pertama berusia 40 tahun mempunyai 18 rekod jenayah lampau termasuk tiga rekod dikehendaki bagi kes dadah manakala suspek kedua mempunyai 13 rekod lampau termasuk satu dikehendaki.




“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman dan siasatan lanjut,” katanya.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 kanun sama.

Sumber: Harian Metro

Leave a Comment