Mesyuarat Tergempar UMNO: ‘desak PRU15 seberapa segera’

Kongsi Artikel Ini

KUALA LUMPUR – Ketua-ketua bahagian yang hadir pada mesyuarat tergempar UMNO bersama presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebulat suara bersetuju agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kepada media yang ditemui di lobi Menara Dato’ Onn pada jam 3.30 petang.



Menurutnya, keputusan itu akan disampaikan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Baca Juga

“Ketua-ketua UMNO satu Malaysia yang hadir sebulat suara mahu pilihan raya ini diadakan dalam kadar segera,” katanya.

mesyuarat tergempar umno

Sementara itu ditanya mengenai inti pati mesyuarat, beliau berkata, mereka hanya diberi taklimat mengenai PRU15 bagi melihat persediaan jentera parti di setiap bahagian.

“Tujuan mesyuarat bagi melihat kesiapsiagaan dan keperluan daripada ketua bahagian satu Malaysia untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan dalam menghadapi PRU15 ini.




“Kami hanya diberikan taklimat, tiada desakan (PRU15). Bila mahu dibubarkan Parlimen, perkara tersebut telah dibincangkan oleh ‘Top 5’ dalam mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan mesyuarat khas yang lepas, ” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, semua pemimpin tertinggi UMNO hadir pada mesyuarat berkenaan kecuali Naib Presiden, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Ismail Sabri.




Ditanya sama ada pertemuan itu membincangkan isu berkaitan kes mahkamah Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau memaklumkan tidak perbincangan mengenai perkara tersebut.

“Kes Najib langsung tidak disentuh dan dibincangkan,” katanya ringkas.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Comment