ezBiz SSM Online: Cara Mendaftar Perniagaan Enterprise/Tunggal

Untuk makluman kepada anda yang baru sahaja memulakan perniagaan serta ingin serius untuk melakukan perniagaan tersebut, kini anda boleh mendaftar perniagaan anda melalui ezBiz SSM online.

Berikut akan kami kongsikan cara untuk membuka perniagaan Enterprise atau Tunggal secara online sahaja.

Lebih cepat dan sangat mudah!

Mari ketahui dengan lebih lanjut mengenai Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta langkah-langkah yang perlu dibuat untuk mendaftar perniagaan anda.

PERNIAGAAN YANG BOLEH DIDAFTARKAN DI SSM

Menurut daripada laman web SSM, perniagaan adalah meliputi tiap-tiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesion atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan untuk maksud-maksud mendapat keuntungan, tetapi tidak meliputi apa-apa jawatan atau penggajian ataupun apa-apa pengusahaan amal atau apa-apa kerja yang telah dinyatakan dalam jadual di bawah peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956).

Bermakna, selain dari bisnes penjualan barang-barang atau makanan, servis tertentu seperti khidmat rider atau freelance juga adalah termasuk antara perniagaan yang boleh didaftarkan.

Perniagaan yang boleh didaftarkan di bawah APP 1956 iaitu hanya perniagaan beroperasi di Malaysia Barat iaitu meliputi Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan dan
bentuk perniagaan adalah seperti yang berikut:

  • Perniagaan Milik Tunggal – perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik.
  • Perniagaan Perkongsian – perniagaan yang dimiliki oleh sekurang-kurangnya dua orang serta tidak melebihi daripada 20 rakan kongsi.

SYARAT-SYARAT PENDAFTARAN PERNIAGAAN

  1. Pemilik hendaklah Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap.
  2. Pemilik hendaklah berumur 18 tahun ke atas.
  3. Pemilik/rakan kongsi sahaja yang dibenarkan untuk membuat permohonan.

Lain-lain panduan/syarat-syarat yang berkaitan:

  • Pendaftaran perniagaan yang baru boleh dibuat bagi jangkamasa satu (1) tahun atau tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran.
  • Bagi jenis perniagaan yang telah didaftarkan hendaklah mematuhi keperluan undang-undang, keselamatan persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral.
  • Seseorang yang telah menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan telah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.
  • Kepada pemilik perniagaan yang bertanggungjawab untuk mendapat lesen, permit atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa yang berkaitan bagi jenis/aktiviti perniagaan yang ingin dijalankan walaupun pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM.

CARA MENDAFTAR EzBiz SSM ONLINE

Cara untuk register SSM adalah melalui prosedur seperti yang berikut:

  1. Layari laman web https://ezbiz.ssm.com.my/
  2. Sila tekan butang SIGN UP bagi pengguna kali pertama.
  3. Pada ruangan ID TYPE, pilih NRIC iaitu kad pengenalan.
  4. Anda hendaklah memasukkan nombor kad pengenalan pada ruang ID NO dan isikan nama penuh pada ruang NAME AS PER IC.
  5. Tekan butang REGISTER.
  6. Anda kini telah berdaftar sebagai pengguna EzBiz, tetapi belum lagi mendaftar perniagaan di SSM.
  7. Jika ingin meneruskan pendaftaran, anda perlu hadir di mana-mana kaunter SSM dengan membawa kad pengenalan serta notifikasi yang telah diterima di emel pengguna.
  8. Aktifkan ID dengan membuat pengesahan cap jari (biometrik) untuk tujuan keselamatan maklumat (sekali seumur hidup).
  9. Setelah ID anda diaktifkan, sila login semula ke laman web tadi.
  10. Kemudian, jika ingin mendaftar SSM online, sila pilih MY BUSINESS SERVICE.
  11. Pilih tab NEW BUSINESS di bawah sub menu NEW BUSINESS REGISTRATION.
    • Anda Hendaklah isi maklumat perniagaan melalui Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan mengisi maklumat seperti yang berikut:
      • Nama perniagaan.
      • Tarikh permulaan perniagaan.
      • Alamat utama perniagaan.
      • Alamat cawangan perniagaan (jika ada).
      • Maklumat pemilik serta rakan kongsi.
      • Jenis perniagaan yang akan dijalankan.
      • Kemukakan salinan perjanjian perkongsian (jika ada).
  12. Setelah selesai kesemuanya, anda boleh buat pembayaran mengikut kaedah yang anda inginkan.
  13. Sekiranya telah berjaya, anda akan mendapat satu notifikasi pengesahan dari SSM.
  14. Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu jam dari waktu pembayaran dibuat.

BAYARAN PENDAFTARAN ezBiz SSM

Bayaran yang akan dikenakan untuk mendaftar syarikat di SSM adalah seperti yang berikut:

  • Perniagaan pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti di kad pengenalan – RM30.00.
  • Perniagaan pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred – RM60.00.
  • Pendaftaran cawangan – RM5.00 setiap cawangan.
  • Cetakan Maklumat Perniagaan – RM10.00.

PANDUAN MEMILIH NAMA PERNIAGAAN

Pendaftaran boleh didaftarkan menggunakan nama sendiri atau nama ‘Tred’.

Anda juga boleh menyemak sama ada nama perniagaan sudah didaftaran atau tidak di portal MyData SSM.

  • Nama sendiri menggunakan nama seperti di dalam kad pengenalan tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan. Contoh: Ruslan bin Mohamed, Siow Ah Thai, Ramasamy a/l Mutusamy
  • Nama Tred ialah nama perniagaan yang dicadangkan serta perlu mendapat kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu. Contoh: Kedai Dobi Mewah, Lucky Star Catering, ABS Unggul Enterprise.

Rujuk selanjutnya Panduan Daftar Nama Perniagaan oleh SSM.

MAKLUMAT LANJUT

Jika terdapat sebarang maklumbalas mengenai cara daftar SSM boleh dikemukakan melalui:

MENARA [email protected]
No 7, Jalan Stesen Sentral 5​
Kuala Lumpur Sentral
50623 Kuala Lumpur.

Pusat Panggilan SSM
Tel: 03-7721 4000
Faks: 03-7721 4001
Emel : [email protected]

Leave a Comment