Anwar dilantik PM, Bursa Malaysia catat kenaikan terbesar tahun 2022

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia yang diukur oleh penanda aras utama, FBMKLCI melonjak lebih 50 mata atau 3.48 peratus kepada 1,493.87 pada dagangan hari ini setakat jam 3.18 petang.

Momentum kenaikan berkenaan bertambah tinggi pada sesi dagangan petang iaitu selepas berita mengenai pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Ia selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” demikian menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin melalui satu kenyataan, hari ini.

SUMBER

Leave a Comment